Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris |
KUALA LUMPUR, 27 Nov -- Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berada di tangga ke-28 universiti terbaik Asia pada tahun ini, mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya membuat lonjakan secara berterusan bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut. Berdasarkan laporan Ranking Universiti Asia Quacquarelli-Symonds (QS) 2021, UPM melonjak lima tangga berbanding kedudukan tangga ke-33 pada tahun lepas, sekali gus meletakkannya universiti kedua terbaik di Malaysia, selepas Universiti Malaya (UM) di kedudukan tangga kesembilan. Merujuk kepada pencapaian itu, Naib Canselor UPM Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata indikator Faculty Staff with PhD dan Inbound Exchange Student dilihat sebagai kekuatan utama UPM dengan pemarkahan 100 peratus, serta indikator Outbound Exchange Student dengan markah 99.99 peratus keseluruhannya. Beliau berkata ini membuktikan tahap kualiti tinggi pegawai akademik UPM serta keberkesanan program mobiliti UPM, yang memberikan impak positif dalam mewujudkan jalinan kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa. “Kenaikan lima tangga adalah sesuatu prestasi yang membanggakan untuk UPM, kerana persaingan dan prestasi agak memberangsangkan dari institusi serantau, selain terpaksa menghadapi cabaran baharu dunia iaitu pandemik COVID-19 yang sedikit sebanyak menjejaskan operasi sektor pendidikan tinggi peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Sepuluh universiti tempatan terdiri daripada tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta - berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia berdasarkan laporan QS itu. |
Date of Input: 30/11/2020 | Updated: 02/12/2020 | amirahhani