Pandemik COVID-19 mengubah norma baharu dalam kehidupan mencakupi pelbagai aspek termasuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membabitkan proses pembelajaran dalam talian, meningkatkan penggunaan komputer riba dan tablet.
Kekangan dalam menjalankan aktiviti sosial juga mengakibatkan kanak-kanak lebih cenderung untuk menghabiskan masa di rumah dan meningkatkan pendedahan kepada gajet.
​Bagaimanapun, kajian menunjukkan pendedahan kepada gajet dan kurangnya aktiviti luar boleh mengakibatkan peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.
Di Asia, hampir 85 peratus kanak-kanak mengalami rabun jauh, manakala statistik di Malaysia menunjukkan sebanyak 42 peratus kanak-kanak perlu memakai cermin mata akibat rabun jauh.
Pegawai Optometri Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Muhsonat Mohamad Zain, berkata isu peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak adalah isu global yang perlu dititikberatkan.
Ibu bapa perlu mengetahui bagaimana cara mengawal peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.
Peningkatan rabun jauh dapat dikawal melalui pelbagai kaedah. Antaranya, melalui pemakaian cermin mata khas (seperti kacamata undercorrect, bifokal, multifokal atau myopia control lens), penggunaan ubat mata seperti atropine 0.01 peratus dan penggunaan kanta lekap khas, iaitu Ortokeratologi (Ortho-K).
"Kajian menunjukkan Ortho-K memberi kesan lebih efektif merawat peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak berbanding dengan kaedah lain.
"Keberkesanannya dalam merawat peningkatan rabun jauh adalah dalam julat 32 hingga 100 peratus," katanya.
Keberkesanan Atropine pula adalah dalam julat 30 hingga 77 peratus dan kaca mata khas adalah dalam julat 12 hingga 55 peratus sahaja.
​Ortho-K juga adalah sejenis kanta lekap atau kanta sentuh separa keras yang dipakai pada waktu malam ketika tidur.
Ia direka menggunakan konsep 'cornea reshaping therapy' iaitu ia dapat mengubah permukaan kornea, menjadikan kornea lebih mendatar dan pemakai kanta lekap dapat melihat dengan jelas tanpa pemakaian kacamata pada waktu pagi.
Kanta lekap klinikal berkenaan yang direka khas mengikut tahap rabun jauh dan kelengkungan mata setiap individu.
Tahap rabun jauh
Beliau berkata, pemakaiannya memerlukan kriteria yang tertentu kerana bukan semua kanak-kanak atau individu boleh memakainya.
Antara kriteria utama adalah tahap rabun jauh. Rabun jauh yang bersesuaian untuk pemakaian Ortho-K adalah julat di antara -1 DS sehingga hingga 5DS. Rabun silau perlulah tidak melebihi 1.DC.
​Sebelum memakai kanta sentuh itu perlu menjalani pemeriksaan mata secara menyeluruh. Pemeriksaan mata yang terbabit adalah pemeriksaan tahap rabun, pemeriksaan segmen anterior (seperti mata kering), topografi kornea dan pemeriksaan segmen posterior.
Jika pesakit sesuai dan memenuhi semua kriteria yang ditetapkan, optometris akan melakukan pemasangan bagi kanta lekap atau lebih dikenali sebagai Ortho-K fitting.
Proses itu bermula dengan memasukkan kanta lekap di mata pemakai.
"Optometris perlu memastikan parameter Ortho-K bersesuaian dengan mata. Kemudian disarankan di klinik dengan pemakaiannya sekurang-kurangnya 30 minit. Ini adalah untuk melihat kesannya pada permukaan kornea.
Konsultasi untuk memakai kanta sentuh ini akan diberikan kepada pemakai. Optometris akan menerangkan mengenai cara memasukkan dan mengeluarkan kanta sentuh cara cucian dan sebagainya.
Individu memahami penggunaan kanta sentuh itu mereka boleh mendapatkan mengikut saranan optometris
Ortho-K yang mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat sejak 1998 adalah sebagai satu kanta lekap untuk membetulkan dan mengawal peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.
FDA juga meluluskan kanta lekap itu untuk dipakai pada waktu malam ketika tidur. Kesan pemakaiannya bersifat reversible (boleh diterbalikkan).
|