*Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris
*Artikel ini telah diterbitkan di bharian.com.my pada 7 Mei 2020
KUALA LUMPUR: Koloni buruh warga asing yang berselerakan di sekitar Lembah Klang, berisiko tinggi mencetuskan kluster baharu jangkitan wabak COVID-19 di negara ini, sekali gus berpotensi merencatkan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengawal penularan pandemik itu ketika ini.
Penempatan buruh warga asing dikesan berada di sejumlah lokasi sekitar Lembah Klang, antaranya di Kota Raya, Jalan Silang, Jalan Klang Lama, Chow Kit, Kampung Bharu, Selayang, Cheras, Cyberjaya, Gombak dan Bandar Bukit Sentosa.
Beberapa lokasi seperti Selayang dan Chow Kit sudah pun mencetuskan kluster jangkitan COVID-19 sebelum ini, selain KKM hari ini memaklumkan mengesan satu kluster baharu dalam kalangan pengawal keselamatan warga Nepal di Cheras.
Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata risiko penularan jangkitan dalam kalangan warga asing adalah tinggi berikutan kebanyakan mereka tinggal di dalam penempatan yang padat dan kotor.
Atas faktor itu, katanya, COVID-19 dapat merebak secara pantas dan meluas dalam kalangan warga asing jika terdapat satu kes jangkitan dalam kalangan mereka, seperti yang berlaku di Singapura.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak majikan yang menggajikan pekerja warga asing, mengambil tanggungjawab menyediakan kediaman yang lebih baik bagi mengurangkan risiko berkenaan.
"Faktor penempatan menjadikan warga asing sebagai kumpulan berisiko tinggi menyebabkan penularan COVID-19 dan mencetuskan pelbagai kluster baharu, selain berpotensi menyebarkannya pada rakyat tempatan.
"Kita perlu ambil iktibar dengan apa yang berlaku di Singapura apabila penularan di luar kawalan berlaku dalam kalangan pekerja warga asing yang tidak dipantau dengan baik," katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kes penularan COVID-19 dalam kalangan buruh warga asing di negara ini didapati semakin meruncing berikutan beberapa faktor, termasuk aspek kehidupan dan latar belakang pekerjaan mereka.
Ditanya sama ada KKM perlu melaksanakan ujian saringan di semua lokasi penempatan warga asing di sekitar Lembah Klang, Dr Malina berkata, ia sukar dilakukan kerana ujian secara besar-besaran memerlukan kos yang tinggi, selain persoalan siapa yang perlu menanggung kos berkenaan, sama ada kerajaan, majikan atau warga asing itu sendiri.
Bagaimanapun, beliau bersetuju sekiranya KKM menetapkan syarat supaya ujian saringan COVID-19 terhadap warga asing diteruskan secara berkala, dan tidak sekadar dilakukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semata-mata.
"Sekiranya mampu, maka ujian saringan secara berkala adalah lebih baik. Namun, kerajaan ada kekangan daripada aspek peruntukan.
"Mungkin ada mekanisme tertentu bagi membolehkan perkara ini dilakukan, seperti majikan mengambil tanggungjawab menanggung kos ujian pekerja dan kerajaan memberi insentif seperti pengecualian cukai kepada majikan," katanya.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, turut bersetuju dengan pandangan itu kerana pembukaan semula sektor ekonomi, khususnya industri pembinaan, menyebabkan warga asing, termasuk yang sudah disahkan negatif, terdedah dengan kumpulan warga asing lain yang mungkin dijangkiti virus berkenaan.
Katanya, faktor penempatan yang padat dan kotor pula menyebabkan jangkitan itu mudah merebak kepada rakan serumah mereka, sekali gus menyebabkan jangkitan dan kluster baharu.
"Rumah kongsi warga asing yang kebanyakannya disediakan majikan agak sempit dan kurang bersih, serta dihuni antara 10 hingga 20 orang.
Date of Input: 08/05/2020 | Updated: 08/05/2020 | hirfarizan